X @anwaribrahim
Error 500 (Server Error)!!1500.That’s an error.There was an error. Please try again later.That’s all we know.
Notes
Di Melaka hari ini untuk bersama rakan-rakan seperjuangan dalam Kongres Nasional KEADILAN 2026. Dalam ucapan dasar, saya menghimbau ikrar perjuangan menerusi Deklarasi Permatang Pauh 28 tahun lalu, tatkala kita memilih jalan sukar untuk menongkah arus dengan merangkul kekuatan seluruh rakyat merentasi kaum, agama dan wilayah bagi membentuk Malaysia yang lebih demokratik, adil dan manusiawi. Kita meneruskan cita-cita besar negarawan ulung Allahyarham Dato’ Onn Jaafar yang lebih awal membayangkan sebuah wadah politik melangkaui batas kaum demi masa depan negara. Perjalanan kita telah melalui jalan raya dan penjara, kekalahan dan kemenangan, serta pengkhianatan yang hampir memusnahkan harapan. Dahulu kita menuntut perubahan. Hari ini, setelah diberikan amanah menentukan arah negara, tanggungjawab kita adalah melaksanakannya. Alhamdulillah, kestabilan yang dibina bersama rakan-rakan telah memungkinkan beberapa perubahan penting dilaksanakan dalam keadaan ekonomi dunia yang amat mencabar. Namun Kongres ini juga medan untuk kita bermuhasabah dan mengakui bahawa masih ada keresahan rakyat yang belum ditangani sepenuhnya. Kita mesti mendengar dengan terbuka dan memperbaiki segala kelemahan dengan jujur. Pertumbuhan ekonomi hanya bermakna apabila rakyat merasai peningkatan dalam kehidupan mereka. Pelaburan mesti menghasilkan pekerjaan dan gaji yang bermaruah, manakala pengukuhan fiskal harus meningkatkan kemampuan Kerajaan memperbaiki sekolah, hospital, pengangkutan dan perumahan serta membantu keluarga yang memerlukan. Pada masa sama, kita masih bergelut dengan saki-baki kebobrokan dan pengkhianatan terhadap amanah rakyat dalam institusi seperti Tabung Haji dan FELDA. Saya tegaskan bahawa kita tidak akan melindungi atau membiarkan sesiapa terlepas, kerana perbuatan sakau segelintir manusia ini telah menyebabkan kita semua, sama ada Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta yang lain, terpaksa menanggung akibatnya. Jika kita tidak bertindak, kita dituduh lemah dan mengkhianati Reformasi. Kalau bertindak pula, kita dituduh berdendam. Katakanlah apa sahaja. Saya tegaskan bahawa sesiapa yang menyeleweng dan mengkhianati amanah rakyat mesti berhadapan dengan hukum serta keadilan. Saya turut menyinggung usaha reformasi pendidikan yang mesti melahirkan anak Malaysia yang berilmu dan beradab, menguasai teknologi tanpa kehilangan kemanusiaan, berakar pada sejarah dan budayanya serta mampu berdiri sama tinggi dengan sesiapa sahaja di dunia. Atas keyakinan terhadap kematangan mahasiswa, saya mengumumkan bahawa Kerajaan MADANI akan meneruskan reformasi ini dengan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Insya-Allah, cadangan pemansuhan ini akan dibawa ke Jemaah Menteri pada Rabu ini. Kepada generasi pasca-Reformasi dan anak muda, warisan perjuangan ini tidak harus menjadi nostalgia yang membebankan. Saya tidak mahu kalian melalui segala liku dan ranjau yang ditempuh oleh generasi kami, namun ibrah daripada perjuangan itu mesti difahami. Hayati mengapa Reformasi bermula, kemudian tentukanlah maknanya untuk kalian. Saya mahu generasi ini lebih berani, lebih terdidik dan lebih bersedia mencabar pemikiran lama, termasuk pemikiran generasi kami sendiri. Saya bertekad untuk menyempurnakan agenda perubahan yang masih belum tertunai. Justeru, saya mengajak seluruh kekuatan KEADILAN, Pakatan Harapan, rakan-rakan parti dalam Kerajaan MADANI, badan dakwah dan NGO untuk bersama dalam perjuangan ini, sekali gus melakar sejarah baharu sebuah negara yang lebih adil, bermaruah serta menjamin masa depan setiap rakyat. Reformasi! #KitaKEADILAN #MemugarReformasiMembinaMADANI