8 August 2026National Day Message 2026 (Malay)PeoplePrime Minister's OfficeTopicsEconomyFamilies and communitiesGovernanceActing Minister-in-charge of Muslim Affairs, Zaqy Mohamad delivered Prime Minister and Minister for Finance Lawrence Wongâs National Day Message 2026 in Malay. The message was recorded at the National Stadium and telecast on 8 August 2026.National Day Message
Acting Minister-in-charge of Muslim Affairs, Zaqy Mohamad delivered Prime Minister and Minister for Finance Lawrence Wongâs National Day Message 2026 in Malay. The message was recorded at the National Stadium and telecast on 8 August 2026.
Setiap tahun pada 9 Ogos, kita berhimpun untuk merenung kembali kemajuan kita sejauh ini, dan memikirkan tentang hala tuju kita yang seterusnya.
Tahun ini, kita berbuat demikian dengan latar belakang dunia yang semakin tidak menentu.
Konflik semakin menjalar. Hambatan dagangan semakin banyak. Tahap kepercayaan antara negara-negara dunia kian lemah, dan kerjasama yang dahulunya dianggap satu kebiasaan, kini tidak lagi boleh diambil mudah.
Kesan paling langsung yang kita rasakan, terbit daripada krisis Timur Tengah. Keadaan di sana masih tidak menentu. Sementara itu, kesan konflik terus dirasakan di seluruh dunia. Ia dizahirkan menerusi harga tenaga yang lebih tinggi, gangguan pada rantaian bekalan, serta kenaikan kos perbelanjaan keluarga dan perniagaan.
Meskipun menghadapi cabaran, ekonomi Singapura kekal berdaya tahan. Ia mencatatkan pertumbuhan rancak pada separuh pertama tahun ini dan kami jangkakan rentak ini akan berterusan. Pasaran buruh kita kekal stabil, dengan pekerjaan baharu terus dicipta. Kita juga sedang meraih manfaat daripada pertumbuhan pesat AI, terutama sekali dalam sektor semikonduktor. Namun, sekitaran geopolitik yang lebih luas masih tidak menentu. Memang wajar jika ramai rakyat Singapura berasa bimbang tentang kesannya terhadap pekerjaan mereka, keluarga mereka dan masa hadapan mereka.
Kita tidak boleh kawal apa yang berlaku di luar negara. Tetapi kita boleh kawal cara kami bertindak. Dan kami akan terus menyokong rakyat Singapura. Apabila rakyat kita berdepan dengan situasi bahaya di Timur Tengah, kami berusaha membawa mereka pulang. Apabila krisis meletus, kami segera bertindak membantu keluarga dan perniagaan yang terjejas. Kami baru sahaja agihkan satu lagi pakej sokongan untuk membantu rakyat Singapura menangani keadaan yang masih tidak menentu ini.
Tetapi, tanggungjawab kami bukan sahaja untuk menangani cabaran yang kita hadapi hari ini. Kita juga perlu membantu Singapura bersiap sedia untuk masa hadapan.
Awal tahun ini, kami telah semak strategi ekonomi negara secara menyeluruh. Berdasarkan hasil semakan, kami sedang menyegarkan pendekatan kami terhadap industri dan perdagangan, mengukuhkan daya saing kita dan membuat pelaburan besar dalam rakyat kita. Matlamat kami bukan sekadar untuk mengharungi gelora yang kita sedang hadapi. Matlamat kami adalah agar kita mampu bangkit lebih teguh, lebih berdaya tahan, dan lebih bersedia untuk menghadapi apa jua yang mendatang.
Salah satu perubahan terbesar yang telah membentuk semula dunia kita, adalah arus inovasi yang begitu deras. Penemuan baharu mewujudkan peluang yang kita tidak boleh bayangkan beberapa tahun lalu. Pada masa yang sama, ia menimbulkan cabaran serta persoalan baharu. Kita tidak boleh berdiam diri, sedang orang lain maju ke hadapan. Tetapi kita juga tidak seharusnya menggunakan setiap teknologi baharu tanpa menilainya.
Singapura akan bersikap terbuka terhadap teknologi baharu ini berpandukan keperluan kita. Ia harus kekal sebagai alat yang berkhidmat kepada rakyat, membantu memperkukuh masyarakat dan memperbaiki kehidupan mereka.
Ambil AI sebagai contoh. AI merubah industri dan cara kita bekerja. Namun, ia juga membuat ramai pekerja resah kerana bimbang AI akan menjejas sumber mata pencarian mereka. Di Singapura, kami akan manfaatkan AI sepenuhnya untuk meningkatkan daya penghasilan dan mewujudkan pekerjaan yang lebih baik. Pada masa yang sama, kami akan melabur dalam kemahiran dan latihan, supaya setiap pekerja dapat menyesuaikan diri, berkembang dan hidup sejahtera.
Pendekatan yang sama juga diambil terhadap media sosial. Ia membantu kita berhubung, berkongsi idea, serta meluahkan perasaan. Namun, memang wajar jika ramai ibu bapa berasa bimbang tentang kesannya ke atas kanak-kanak dan golongan muda. Terutama bagaimana penggunaannya secara berlebihan boleh menjejas kesihatan mental dan fizikal serta hubungan keluarga. Oleh itu, kami akan sediakan perlindungan lebih kukuh untuk anak-anak kita dan membantu mereka mengemudi dunia digital dengan selamat dan bertanggungjawab.
Dengan perkembangan teknologi, kita akan terus membentuknya agar dapat berkhidmat kepada rakyat dan mengukuhkan masyarakat.
Pada akhirnya, pertumbuhan ekonomi dan kemajuan teknologi haruslah menjadikan kehidupan rakyat Singapura lebih baik. Kami mahu Singapura menjadi sebuah tempat di mana setiap orang dapat mengejar aspirasi mereka dengan penuh yakin, membina keluarga dengan penuh tenang, dan memandang ke hadapan dengan penuh harapan.
Di seluruh dunia, kehidupan berkeluarga semakin tertekan. Jangkaan semakin tinggi dan ibu bapa berasa tertekan untuk memberikan anak-anak mereka permulaan yang terbaik dalam kehidupan. Pada masa yang sama, ramai anak-anak juga menjaga ibu bapa yang lanjut usia sambil mengimbangi tuntutan pekerjaan.
Di Singapura, kami juga dengar kebimbangan yang sama. Ramai keluarga berasa terhimpit sedang mereka cuba mengimbangi pelbagai tuntutan yang bersaing.
Itulah sebabnya kami sedang membuat satu semakan besar terhadap cara kami menyokong keluarga â bukan sahaja apabila pasangan berkahwin dan menimang cahaya mata. Tetapi sepanjang kehidupan mereka. Kami sedang menilai semula isu-isu seperti kos membesarkan anak, serta yuran khidmat penjagaan bayi dan kanak-kanak. Juga cara lain untuk meringankan beban yang dipikul sesebuah keluarga. Saya akan berkongsi lebih lanjut mengenai rancangan ini pada Rapat Umum Hari Kebangsaan.
Setiap generasi perlu memainkan peranan dalam membina masa hadapan yang lebih baik untuk generasi yang seterusnya. Kita mewarisi Singapura yang dibina hasil pengorbanan, kerja keras dan wawasan generasi sebelumnya. Kini, tiba masanya untuk kita sambung legasi tersebut dan wariskan Singapura yang lebih kukuh.Â
Sejak merdeka, Singapura sentiasa berpandangan jauh. Kita merancang bukan sekadar untuk tempoh beberapa tahun, tetapi untuk puluhan tahun yang akan datang. Kita akan terus memperkukuh jaminan bekalan tenaga, menggunakan tanah kita yang terhad dengan sebaik-baiknya, dan melabur dalam prasarana masa hadapan.
Namun, membina masa hadapan bukan hanya melibatkan pembangunan prasarana fizikal. Ia juga bermakna kita sentiasa terbuka kepada idea baharu, menjalin hubungan dengan dunia luar, serta mengalu-alukan mereka yang ingin menyumbang kepada masyarakat dan menjadikan Singapura kediaman mereka.
Bagi sebuah negara kecil seperti Singapura, kita tidak ada pilihan. Kita perlu kekalkan hubungan kita dengan dunia luar. Apabila keadaan menjadi tidak menentu, negara lain mungkin terdorong untuk memencilkan diri. Namun, Singapura tidak boleh berbuat demikian. Sejak kami merdeka, dasar terbuka kita telah mendatangkan manfaat, dan ia tetap menjadi kunci kejayaan kita pada tahun-tahun yang mendatang.
Sepanjang sejarah kita, rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang telah bersatu sebagai satu rakyat dan satu negara.
Enam puluh tahun lalu, keyakinan ini dizahirkan melalui Ikrar Negara. Ia satu cerminan keyakinan, bahawa kita mampu membangunkan sebuah negara yang tidak terikat pada mana-mana kaum, bahasa ataupun agama. Tetapi kepada satu sama lain dan kepada negara kita, Singapura.
Dunia hari ini semakin berpecah belah. Namun, nilai-nilai yang terkandung dalam Ikrar Negara lebih relevan berbanding sebelumnya.
Cabaran di hadapan kita adalah nyata. Begitu juga kekuatan kita, iaitu daya tahan kita, sikap terbuka kita dan perpaduan kita. Bersama-sama, kita akan dapat membina Singapura yang lebih baik dan lebih teguh, jika kita terus saling percaya dan menjunjung tinggi nilai-nilai murni Ikrar Negara.
Selamat Hari Kebangsaan! Majulah Singapura!
National Day Message 2026 (Mandarin)
National Day Message 2026 (Tamil)